Entrepreneur magazine is the premier source for everything small business. Get the latest small business information in out latest issue of Entrepreneur Magazine.
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD, THOMAS CHONG dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH [email protected] PUTRAJAYA 21 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua 282 mayat penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 akan dibawa ke bandar Kharkiv di Ukraine sebelum diserahkan kepada wakil kerajaan Belanda. Najib berkata, keputusan itu adalah daripada antara tiga persetujuan yang dicapai antara beliau dengan ketua pemberontak pro-Rusia, Alexander Borodai yang berkuasa di kawasan nahas dalam perbualan telefon pada petang ini. Katanya, kereta api yang membawa mangsa MH17 akan bertolak ke Kharkiv dengan ditemani oleh enam wakil Malaysia yang terlibat dalam misi menyelamat di Ukraine. Beliau berkata, mayat berkenaan kemudiannya akan diterbangkan ke Amsterdam menggunakan pesawat C130 Hercules milik Belanda bersama-sama dengan pasukan Malaysia. "Selepas kerja-kerja forensik, kesemua mayat rakyat Malaysia akan dibawa pulang ke tanah air," katanya dalam sidang akhbar di Sri Perdana di sini awal pagi ini. Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, di bawah persetujuan kedua, dua kotak hitam pesawat MH17 akan diserahkan kepada pasukan Malaysia di Donetsk kira-kira pukul 9 malam ini (waktu Ukraine). "Kita akan mengambil alih hak ke atas dua kotak hitam ini," katanya. Beliau berkata, hasil persetujuan dengan Borodai juga, pasukan penyiasat bebas antarabangsa diberi jaminan untuk memasuki kawasan nahas untuk melakukan siasatan penuh terhadap tragedi MH17. Najib berkata, sebelum ini, Malaysia telah berusaha sedaya upaya untuk menghubungi pihak terbabit di kawasan nahas MH17. "Dalam keadaan yang sukar, kita telah berbincang mengenai masalah bersama yang wujud, melindungi bukti-bukti penting dari pesawat. "Siasatan bebas telah dilancarkan untuk mencari penumpang-penumpang yang terkorban," katanya. Perdana Menteri berkata, biarpun persetujuan tersebut telah dicapai, tetapi beberapa perkara lagi perlu dilakukan sebelum dapat diselesaikan sepenuhnya. Beliau berkata, terdapat beberapa yang masih perlu dilakukan dan setakat ini Borodai dan pengikutnya memberikan kerjasama yang baik. "Saya meminta semua pihak untuk bekerjasama bagi memastikan perjanjian ini dihormati, mayat mangsa dihantar pulang, kotak hitam diserahkan kepada Malaysia dan pasukan siasatan antarabangsa dibenarkan untuk memasuki kawasan nahas. "Menerusi cara ini sahaja siasatan MH17 bermula, mangsa akan mendapat pembelaan sewajarnya dan kita perlu mengetahui mengapa pesawat ini terhempas serta siapa yang bertanggungjawab supaya keadilan dapat ditegakkan," katanya. Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau berharap perjanjian yang dicapai malam tadi akan dapat membantu mencari jalan penyelesaian dalam menyelesaikan kemelut yang melanda dalam tragedi MH17. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140722/dn_03/Malaysia-dapat-hak-kotak-hitam-MH17#ixzz389RvQG8E © Utusan Melayu (M) Bhd
Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH [email protected] MOHD. Shafie Apdal (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jenazah Mangsa MH17 di Putrajaya, semalam. Turut sama Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) dan Ibrahim Muhamad (kiri). - UTUSAN/RASHID MAHFOF PUTRAJAYA 8 Ogos - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menyelaraskan penghantaran jenazah mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke tempat pengebumian atau persemadian terakhir masing-masing. Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya akan menguruskan proses penghantaran itu ke beberapa kawasan yang telah dikenal pasti antaranya di Selangor, Putrajaya, Perak, Kedah, Sarawak dan Pulau Pinang. Beliau berkata, semua mayat tersebut kemudian akan diberi penghormatan oleh pemimpin tempatan dan kerajaan negeri selepas tiba di kawasan pengebumian masing-masing. "Kementerian ini akan membantu proses pengebumian di peringkat negeri misalnya di Sarawak, Kedah, Perak dan sebagainya dengan baik dan penuh penghormatan seperti yang dikehendaki oleh keluarga mereka. "Sekiranya jenazah atau mayat terbabit hendak dihantar terus ke Kuching atau Miri, Sarawak selepas tiba di KLIA kita juga akan bertindak sebagai penyelaras bagi proses tersebut. "Jika ada mayat bukan Islam yang anggota keluarganya inginkan upacara persendirian dan hendak ia dihantar terus ke Taman Peringatan Nirvana, sampai di KLIA kita akan laksanakan permintaan tersebut," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jenazah Mangsa MH17 di pejabatnya di sini hari ini. Mesyuarat itu adalah susulan mesyuarat pertama Jawatankuasa Koordinasi Persediaan Pelaksanaan Istiadat Penerimaan Jenazah Warganegara Malaysia Tragedi MH17 di Kementerian Pertahanan semalam. Yang hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad. Bagaimanapun, kata Mohd Shafie, urusan berkenaan bergantung kepada permintaan keluarga ke mana jenazah tersebut ingin dibawa. Pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara (SAM) di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu dan mengorbankan 298 nyawa dengan 43 daripadanya merupakan penumpang serta anak kapal warga Malaysia. Menurut Mohd Shafie lagi, pihaknya telah mengenalpasti pengangkutan yang akan digunakan bagi proses penghantaran tersebut dan bertolak sejurus jenazah tersebut tiba di tanah air. Dalam masa sama, katanya, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi memastikan semua proses tersebut berjalan lancar. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140809/dn_07/Urus-jenazah-MH17-ke-persemadian#ixzz3A2QwDlx0 © Utusan Melayu (M) Bhd
Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH [email protected] AHMAD Zahid Hamidi menunjukkan kedudukan tasik di Donetsk, Ukraine yang kini termasuk dalam kawasan pencarianmayat mangsa nahas MH17 dalam sidang akhbar sejurus tiba dari Ukraine di KLIA, Sepang, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF SEPANG 6 Ogos - Pencarian mayat mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai lalu akan diteruskan di kawasan tasik berdekatan tempat nahas tersebut berlaku di timur Ukraine. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan penyelam dari Belanda, Australia dan Malaysia telah menjalankan operasi di kawasan tasik terbabit hari ini berikutan wujud kemungkinan masih terdapat mayat di kawasan itu. Beliau berkata, operasi terbabit telah dimulakan pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan dan sehingga kini, pasukan tersebut belum menemui sebarang bukti atau mayat mangsa. ''Pasukan siasatan akan menghantar pasukan penyelam kerana dikhuatiri mayat dan angota badan mayat mungkin berada dalam tasik berkenaan berikutan terdapat 62 lagi mangsa belum ditemui. ''Sebanyak 10 penyelam dari tiga negara terbabit akan terlibat dalam operasi ini dengan Malaysia akan menghantar beberapa anggota penyelam VAT69,'' katanya selepas tiba dari Misi Khas ke Ukraine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. Menurut Ahmad Zahid, sehingga kini terdapat seramai 87 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan di Soledar, Ukraine bagi meneruskan misi tersebut dan mereka tidak dibenarkan membawa senjata untuk memasuki kawasan nahas. Mengulas mengenai perkembangan misi itu, beliau berkata, Ketua Polis Negara bersama pasukannya telah dibenarkan memasuki kawasan nahas itu yang berada dalam radius 20 kilometer sebanyak dua kali selama satu jam setengah untuk setiap siasatan. Beliau berkata, sepanjang siasatan itu pasukan dari Malaysia telah menemui kokpit pesawat tersebut di ladang penternakan ayam dan barangan peribadi mangsa di kawasan nahas terbabit. Ahmad Zahid berkata, sehingga kini lebih 50 peratus siasatan mengenai nahas itu telah berjaya diselesaikan dan pihak siasatan antarabangsa memerlukan sekurang-kurangnya tiga minggu lagi untuk mengeluarkan seluruh bangkai pesawat itu dari kawasan nahas. ''Kita menemui bangkai kokpit itu dengan kesan tembakan peluru berpandu, siasatan ini agak sukar dan akan mengambil tempoh yang lama kerana keutamaan kita bukan sahaja mencari bahan bukti tetapi menyelesaikan urusan pengambilan mayat dan anggota mangsa," katanya. Mengulas mengenai bahaya yang dihadapi pasukan terbabit, beliau berkata, biarpun tiada jaminan keselamatan diberikan setakat ini pihaknya mendapat kerjasama baik daripada Ukraine dan berharap tiada insiden buruk berlaku terhadap pasukan itu. Ditanya mengenai urusan penghantaran mayat, beliau berkata, keputusan sama ada menghantar mayat tersebut secara berperingkat atau sebaliknya hanya akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140807/dn_02/Turut-cari-mayat-di-kawasan-tasik#ixzz39fODQ4mE © Utusan Melayu (M) Bhd
Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH [email protected] Rohani Abdul Karim menerima sejambak bunga ros merah daripada setiausaha akhbarnya, Mohamad Shahren Mohamad Yusri (duduk, tiga dari kanan) sempena sambutan Hari Wanita 2014 pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya, semalam. - Utusan/RASHID MAHFOF PUTRAJAYA 25 Ogos - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyifatkan tugas menguruskan jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 sukar dan tidak semudah yang ditonton dalam televisyen ketika Hari Perkabungan Negara, Jumaat lalu. Menceritakan semula pengalaman berhubung dengan keluarga mangsa tragedi itu, Rohani berkata, beliau yang mengetuai pasukan bagi menjaga kebajikan waris mangsa MH17 bukan sahaja pernah kehilangan kata-kata ketika berhadapan keluarga mangsa, malah, pernah dimarahi kerana terdapat waris yang tidak berpuas hati dengan kaedah pengurusan jenazah terbabit. "Kita tengok dalam televisyen semuanya berjalan lancar tetapi sebenarnya bukan mudah untuk berhubung dengan waris, misalnya bagaimana hendak uruskan jenazah kerana ada yang marah-marah tetapi kita beritahu soalan ini terpaksa dijawab sebab perlu sediakan logistik untuk bawa pulang mayat dan di mana jenazah mahu diuruskan sama ada di Malaysia atau Amsterdam. "Malah saya sendiri sewaktu menaiki Charlie C-130 kena marah dengan waris mangsa sebab ada perkara yang tidak mengikut susunan jadi yang kena marah adalah kita tetapi terima saja sebab ini sesuatu yang kita buat dan mereka tidak akan marah kalau tiada yang hendak diluahkan," katanya ketika berucap dalam majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini. Menurut Rohani, pihaknya juga terpaksa berdepan cabaran apabila terdapat waris keluarga mangsa yang langsung tidak mahu diganggu dan kerajaan menurutinya sebagai menghormati permintaan keluarga. Selain itu, Rohani berkata, pihaknya juga terpaksa mengikut budaya waktu kerja yang tegas di Belanda hingga menyebabkan proses mengenal pasti mangsa nahas pesawat MH17 lewat dilakukan. "Ada orang bertanya mengapa semua jenazah ini tidak dibawa balik sekali sebenarnya di Belanda kita ada proses yang perlu dilalui iaitu pertama mengenal pasti mayat melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan kemudian proses dokumentasi memerlukan tempoh seminggu. "Tetapi yang menyebabkan keadaan menjadi lewat apabila kesatuan sekerja di sana terlalu kuat biarpun kita menghantar ramai pakar forensik kita tetap perlu mengikut waktu kerja mereka iaitu Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang jadi proses yang sepatutnya sekejap menjadi lambat," katanya. Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada petugasnya yang sanggup bertugas selama 24 jam setiap hari bagi menenangkan keluarga mangsa dan membantu memudahkan urusan mengendali jenazah sehingga semuanya berjalan lancar. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140826/dn_03/Urus-jenazah-mangsa-MH17-rumit#ixzz3BSp0NdaW © Utusan Melayu (M) Bhd